Tombiruo: Penunggu Rimba

Terdapat pelbagai reaksi penonton selepas menonton filem adaptasi novel Ramlee Awang Murshid, Tombiruo: Penunggu Rimba. Rata-rata memberi komen positif, tidak ketinggalan menyatakan perasaan tidak puas hati kerana terjemahan novel yang tidak mencapai tahap imaginasi yang diingini oleh pembaca novel ini.

Penulis secara peribadi belum berpeluang membaca novel ini, namun berpendapat filem ini harus diapresiasi sebagai filem itu sendiri tanpa dibandingkan dengan novelnya, kerana bagusnya filem itu bukan diukur berdasarkan sejauh mana setia pada novel yang diadaptasi. Apatah lagi turut dilaporkan di blog-blog berita bahawa penulisnya sendiri berpuas hati pada hasil adaptasi ini.

Ada juga penonton yang berpendapat bahawa Tombiruo ialah adiwira tempatan yang baru dan lebih asli berbanding filem adiwira seperti Cicak Man yang merupakan cedukan daripada karya luar.

Filem ini sebenarnya boleh dianggap sebagai satu pencapaian baru pada sudut kualiti bagi filem-filem aksi. Dalam menilai filem ini sebagai sebuah filem, tanpa membandingkan dengan novel, filem ini adalah sangat baik gaya persembahannya.

Menceritakan tentang Tombiruo, yang bermakna penunggu hutan menurut kepercayaan masyarakat tempatan di hutan Keningau, Sabah. Ejim (Zul Ariffin) merupakan seorang anak yatim piatu yang dibela oleh seorang bekas tentera bernama Pondolou (Faizal Hussein). Ejim ditemui oleh Pondolou setelah diselamatkan oleh seorang bomoh wanita daripada dibunuh oleh bapanya sendiri dengan dihanyutkan di sungai. Boleh dikatakan Ejim merupakan insan terpilih yang sentiasa dilindungi oleh semangat hutan sepanjang diasuh oleh Pondolou.

Hutan menerima ancaman daripada kapitalis yang diperanankan oleh Syarikat Anak Bumi. Kematian Pondolou kerana terbunuh ketika menentang penganiayaan yang didalangi oleh Syarikat Anak Bumi telah menimbulkan kemarahan Ejim menyebabkan dia nekad untuk terus menentang Anak Bumi di samping menuntut bela atas kematian ayah angkatnya itu.

Dalam penentangan itu, turut berlaku konflik antara Ejim dengan Amiruddin (Farid Kamil) yang baru kematian isteri dan ayah mertuanya. Amiruddin menyangka Ejim yang telah membunuh isteri dan ayah mertuanya. Secara keseluruhannya, filem ini merupakan pertembungan antara kapitalis yang ingin memusnahkan hutan dengan pelindung hutan yang diwakili oleh Ejim atau Tombiruo.

Dua syot yang menarik perhatian penulis, boleh dikatakan sebagai paparan mise en scene yang baik. Pertama, ketika Ejim merangkul Pondolou yang terbunuh akibat tembakan. Di belakang mereka terdapat rumah yang terbakar dengan api yang sangat marak. Kemudian, Ejim menjerit sambil merangkul mayat Pondolou. Kemarakan api itu menterjemahkan suasana kemarahan yang turut sedang marak di dalam diri Ejim kerana pembunuhan Pondolou ditambah dengan semua penganiayaan yang telah dilakukan oleh kapitalis Anak Bumi.

Kedua, babak Amiruddin terserempak dengan Juslan setelah dia mengetahui Juslan merupakan dalang di sebalik kejahatan yang dilakukan secara tersembunyi oleh Juslan di belakang. Ketika itu, Juslan sedang bersandar di sebatang pokok balak yang sudah tumbang di dalam hutan. Pemaparan babak ini boleh dianggap mengandungi kekuatan makna tentang perwatakan Juslan. Pokok yang tumbang itu ialah hasil kejahatan Juslan, berada di belakangnya menunjukkan dialah merupakan dalangnya dan dia bersandar padanya menunjukkan dia mampu berdiri di situ kerana perbuatan khianatnya itu.

Begitulah secara umum yang dapat penulis tangkap di sepanjang tontonan. Sebagai sebuah filem aksi, filem ini boleh dikatakan sebuah filem yang baik berbanding filem-filem lain. Penghasilannya dibuat dengan teliti dan cermat kerana harus memenuhi piawai penulis asal karya dan dipimpin oleh pengarah dari luar.

Advertisements

Prop filem (1) – Anakku Sazali

Prop merupakan kependekan bagi “property” merupakan satu objek yang ditempatkan di set filem, kadang-kadang memainkan peranan penting kerana terlibat dalam perjalanan cerita atau aksi filem.

Phani Majumdar ialah pengarah dan penulis bagi filem ini. Beliau dilihat sangat hebat dalam memanipulasi prop sebagai elemen utama dalam filem beliau Anakku Sazali. Berikut ialah antara senarai prop yang saya anggap penting dalam filem ini dan mengesani secara peribadi terhadap saya sebagai penonton umum.

1. Biola

Alat yang membawa perubahan ke dalam hidup Hassan. Setiap kali babak perubahan fasa kehidupan atau situasi yang membawa kepada perubahan, biola akan dihadirkan bersama di atas skrin.

Anakku Sazali-1.rmvb_snapshot_00.11.06_[2014.04.15_08.49.00]

Membeli biola dengan harga tujuh ringgit, duit gaji yang dibayar oleh bekas majikannya selepas dihalau. Selepas itu, dia bekerja di jeti dan belajar bermain biola daripada seorang guru muzik.

Anakku Sazali-1.rmvb_snapshot_00.16.10_[2014.04.15_08.50.01]

Babak Hassan dan Mahani di jeti memang ketara perubahannya. Mula-mula memaparkan watak mereka bernyanyi bersama-sama ketika masih kecil. Babak seterusnya, watak mereka sudah dewasa bernyanyi di tempat yang sama. Biola turut hadir dalam babak ini.

Anakku Sazali-1.rmvb_snapshot_00.35.07_[2014.04.15_08.50.34]

Ani mengadu kepada Hassan tentang kondisi penempatan mereka yang tidak bagus. Hassan berjanji untuk membawa mereka pindah. Kemudian, Ani meminta Hassan memainkan biolanya.

Anakku Sazali-1.rmvb_snapshot_00.48.11_[2014.04.15_08.52.03]

Imej bertindih, imej Hassan memainkan biolanya dengan penuh kesungguhan dan dedikasi berlatarkan imej wajah penuh harapan Ani. Fasa menuju kepada perubahan, usaha sungguh-sungguh Hassan untuk mengubah kehidupan mereka supaya menjadi lebih baik.

Anakku Sazali-1.rmvb_snapshot_00.36.17_[2014.04.15_08.51.31]

Hassan mendapat pekerjaan sebagai pengarah muzik sebuah teater bangsawan dengan visual yang turut hadir biola bersamanya.


Anakku Sazali-2.rmvb_snapshot_24.14_[2014.04.15_08.58.33]

Kemunculan Rokiah yang sudah berubah menjadi seorang dara selepas Hassan memainkan biolanya.

2. Evolusi peti nyanyi

Anakku Sazali-1.rmvb_snapshot_00.50.32_[2014.04.15_08.52.17]

Setelah kehidupan mereka semakin baik, Hassan membelikan sebuah peti nyanyi untuk Ani.

Anakku Sazali-1.rmvb_snapshot_01.03.29_[2014.04.15_08.53.36]

Saya tidak mengetahui secara terperinci tentang perbezaan model antara peti nyanyi lama. Apabila Hassan berjaya menghasilkan rekod sendiri, rekodnya dimainkan dengan sebuah peti nyanyi yang berbeza. Barangkali peti nyanyi itu menjelaskan bahawa kehidupan Hassan dan Ani semakin baik sehingga mampu menukar peti nyanyi yang baharu.

Babak bersama peti nyanyi ini berlaku dua perubahan besar, pertama pemaparan kejayaan Hassan menghasilkan rekod sendiri dan kedua Ani pengsan, yang kemudiannya dikhabarkan doktor sedang mengandung.

Anakku Sazali-2.rmvb_snapshot_30.45_[2014.04.15_09.00.20]

Visual ini yang menyebabkan saya membuat kesimpulan bahawa perubahan zaman yang disertai dengan kemajuan alat komunikasi cuba digambarkan. Shot tunggal untuk sebuah radio membawa penonton supaya memberikan perhatian kepada radio ini.

Babak ini ketika Rokiah meluahkan kepada Hassan tentang perbuatan kotor oleh Sazali terhadapnya. Radio sedang memainkan lagu sedih ketika itu.

3. Duit

Kesilapan Hassan kerana terlalu mempercayai Sazali, dia memberi kebebasan kewangan kepada anaknya itu. Hal ini merupakan kemuncak kepada perubahan maksimum Sazali.

Anakku Sazali-2.rmvb_snapshot_22.35_[2014.04.15_08.57.30]Anakku Sazali-2.rmvb_snapshot_22.44_[2014.04.15_08.58.10]

Sazali berdiri di tempat yang lebih tinggi daripada budak lain. Tangan kanannya ada sejumlah wang yang besar. Kuasa telah berada di tangannya dan dia menguasai orang lain dengan wang itu. Perubahan Sazali ke arah kejahatan tidak boleh dihalang lagi kerana setelah mendapat wang itu terus dipaparkan babak Sazali telah dewasa sebagai seorang ketua penjahat dan ketika itu dia turut sedang menggenggam wang.

Anakku Sazali-2.rmvb_snapshot_22.31_[2014.04.15_08.55.31]

Budak-budak lain berada di bawah sambil mengangkat tangan mereka yang terdapat jumlah wang yang lebih sedikit. Mereka memandang kepada Sazali yang berada di atas.

Mereka telah dikuasai oleh Sazali dengan wang.

4. Lampu

Teknik pencahayaan dapat menghasilkan menghasilkan suasana dan perasaan yang tertentu dalam babak yang dipaparkan. Under-lighting (pencahayaan dari bawah) biasanya digunakan di dalam filem seram untuk mewujudkan perasaan gerun. Dalam satu babak dalam filem ini, terdapat teknik under-lighting dengan menggunakan lampu yang merupakan sebahagian prop. Hal ini merupakan satu ciri kreatif yang mengagumkan.

Anakku Sazali-2.rmvb_snapshot_25.34_[2014.04.15_08.59.03]

Watak Sazali mendekati lampu sambil memerhati Rokiah yang sedang bernyanyi membuat persembahan di majlis hari jadi Sazali.

Anakku Sazali-2.rmvb_snapshot_25.56_[2014.04.15_08.59.21]

Lampu yang berada di bawah wajah Sazali menghasilkan under-lighting. Pencahayaan ini menyebabkan watak Sazali kelihatan sebagai seorang yang berniat jahat dan harus digeruni.

Saya cuba mentafsir sendiri pengalaman visual apabila menghayati filem ini. Mungkin anda mempunyai pendapat sendiri. Sejujurnya, saya amat mengagumi teknik penyampaian mesej yang dipaparkan melalui manipulasi prop di dalam filem ini ditambah pula dengan lakonan P. Ramlee yang menyempurnakan lagi keunggulan filem ini.

Balada Pencinta

Filem ini seharusnya ditonton. Walaupun bukan yang terbaik, tetapi bagi saya filem ini antara filem yang baik berdasarkan penilaian amatur peribadi.

Bagi saya, filem yang baik ialah filem yang menggerakkan, terutamanya unsur positif dalam diri. Sebabnya, setiap perbuatan akan ditanya nanti di akhirat. Apabila filem yang ditonton itu tidak menggerakkan apa-apa atau lebih teruk lagi menggerakkan nilai-nilai negatif dalam diri penonton (manusia), boleh dikatakan perbuatan itu sia-sia sehingga boleh berdosa, walaupun dari segi penilaian sarjana filem dikategorikan sebagai sempurna.

Pengenalan awal itu saya kaitkan dengan beberapa unsur negatif yang dipaparkan dalam filem ini yang bagi saya tidak sepatutnya ditayangkan atau dilakonkan. Indahnya filem ini menjadi cacat dengan beberapa babak seperti betis perempuan, peluk-memeluk, dunia gangster tembak-menembak dan pergaduhan. Barangkali disebabkan oleh semua unsur ini Balada Pencinta dikategorikan sebagai PG13.

Tidak bermaksud apabila pengarah Khir Rahman ingin menerapkan nilai komersial di dalam filem beliau harus menerapkan unsur-unsur rosak seperti yang disuntik dalam kebanyakan filem lain di Malaysia ini.

Pada awal filem ini yang bagi saya olahannya sangat menarik dan tidak klise (seperti kebanyakan filem dan drama tempatan) bagaimana falsafah cinta dan perasaan cinta dilagukan dengan indah melalui penampilan lakonan oleh para pelakon dan dialog idea khir rahman sehingga saya berasa sangat dekat dengan hati segala butir hikmah dan situasi yang dipaparkan oleh visual yang diadun dengan penuh teliti dan kemas.

Watak-watak yang dipaparkan sangat real bagai menggambarkan peribadi salah seorang daripada penonton sendiri sehingga kita boleh melihat mereka sebenarnya adalah diri kita atau diri rakan-rakan di sekeliling kita. Begitu juga dengan peristiwa-peristiwa cinta memang bagaikan balada yang dialunkan merdu seiring dengan muzik latar dengan liriknya yang kena dengan setiap peristiwa. Warna-warni visual menambahkan lagi keindahan cinta dan satu-satu keindahan itu menuju sentimental fitrah pengertian balada iaitu kesedihan.

Perasaan saya pada awalnya seperti di atas apabila menonton dua pertiga filem ini. Hakikatnya, tiada manusia sempurna. Apabila sampai pada satu perempat pengakhiran daripada filem ini, saya sudah mula mempertikaikan “kenapa begini?” dan “tidak sepatutnya begini”. Komersialkah begini ataupun filem ini menjadi mangsa komersial?

Namun begitu, sebahagian filem ini bagi saya bagus dan menghiburkan dengan pengisian yang mengajar. Terutamanya watak Majid yang dibawa oleh Azhan Rani yang sangat dinamik, perubahan yang boleh dijangka tetap tragik, menjelaskan bahawa cakap-cakap tidak sama dengan hakikat. Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Ujian sebenar ialah selepas kita berbicara dan menghadapinya sendiri. Persoalan yang dipaparkan ialah adakah kita mampu atau tidak mempraktikkan segala kata-kata kita.

Filem Balada Pencinta memang sebuah balada untuk para pencinta. Saya tabik pengarah Khir Rahman atas usaha beliau menyuntik kualiti dalam filem sebegini yang bagi saya kalau dapat pada pengarah lain akan menjadi satu lagi produk klise.

Terima kasih kerana menggerakkan perasaan saya!

Antara dua filem Ip Man

Saya telah berkesempatan menonton dua filem terbaru tentang Ip Man, pakar seni beladiri wing chun yang merupakan guru kepada Bruce Lee, The Grandmaster (Wong Kar Wai) dan Ip Man: The Final Fight dalam penerbangan Singapore Airlines ketika pulang ke tanah air.

Ip Man: The Final Fight lakonan Anthony Wong tampil lebih lemah berbanding dua filem yg sebelumnya yang dilakonkan oleh Donnie Yen. Kalau filem pertamanya babak pertarungan menyebabkan semangat kita berapi apabila menontonnya, perasaan itu semakin menurun dan merudum jatuh apabila menonton filem ketiga ini. Cerita yang dikisahkan juga tidak berapa menarik, bagaikan tidak penting untuk dipersembahkan setara dengan kehebatan peribadi sebenar Ip Man.

Hal ini terjadi mungkin kerana saya telah menonton The Grandmaster terlebih dahulu. Tahap filem ini sangat tinggi kalau nak dibandingkan dengan Ip Man: The Final Fight yang barangkali dibuat untuk komersial semata-mata. Mungkin disebabkan ini saya terus memandang rendah terhadap Ip Man: The Final Fight.

The Grandmaster, Wong Kar Wai paparan teliti seni wing chun mengagumkan saya sebagai penonton melalui visual dan gerak perlahan yang bagi saya telah diolah dengan sangat hebat. Rasanya itu memang kepakaran beliau yang pernah mengarah beberapa filem unggul seperti Chungking Express dan In The Mood For Love, di mana filem-filem beliau memang diiktiraf mengandungi nilai yang tinggi terutamanya dari sudut visualnya.

The Grandmaster benar-benar sebuah penghayatan terhadap seni-seni yang berkisar di sekeliling pakar seni beladiri. Seni-seni yang disusun satu-persatu dengan indah dan teratur dibongkar dengan penuh keharmonian.

Segala seni yang tersembunyi di sebalik gerak pantas pertarungan dan kekerasan tumbukan dan tendangan. Seni yang terselindung di dalam hati seperti cinta dan kasih-sayang antara manusia dizahirkan dengan air mata , renungan, sentuhan, bibir dan mata serta kata-kata yang dilafazkan.

Iklim seperti hujan dan salji menyebabkan jiwa jadi lembab dan dingin supaya lembut supaya mudah meresapi emosi dan perasaan yang dipaparkan. Keretapi yang bergerak laju ketika pertarungan sedang berlangsung menyuntik rasa hati-hati dan kegerunan terhadap bahaya yang sering melingkari kehidupan manusia. Segala ini apa-apa yang saya rasa.

Kesimpulannya, saya suka The Grandmaster. Tidak dapat saya bayangkan kalau filem ini ditonton di pawagam.

The Grandmaster (4)
Ip Man: The Final Fight (2.5)

Falsafah pemburuan

Babak interaksi antara India dan Charlie serta Evelyn di meja makan.

Babak interaksi antara India dan Charlie serta Evelyn di meja makan.

Judul: Stoker (2013)
Pengarah: Park Chan-Wook
Penilaian: 3.5 (x)

“Hunting: to wait, in silence. We wouldn’t need food or drink. We would watch everything.” – India Stoker

Banyak hal yang tidak dapat ditangkap (erti paparan visual) disebabkan kecetekan ilmu saya tentang filem. Secara kasar, berdasarkan rasa, filem psychological thriller ini banyak memanipulasi visual dengan mantap dan kebanyakan emosi dan makna cuba disampaikan dengan cara tersebut.

Persoalan tentang pakcik Charlie yang muncul tiba-tiba ketika majlis pengebumian ayah India Stoker terus mengikat penonton sehingga ke dua pertiga filem dan jawapannya dirungkai sedikit demi sedikit kemudian dirungkai terus pada suatu babak dengan mudah.

Ayah India telah meninggal dunia kerana terlibat dalam kemalangan. Dia sendiri sangat rapat dengan ayahnya berbanding ibunya. Ketika ayahnya masih hidup, mereka berdua  sering keluar bersama-sama untuk berburu. Ketika itu, ayahnya telah banyak mendidik India.

Selepas majlis itu, Charlie Stoker menetap di rumah India dan ibunya buat beberapa tempoh. Ketika itu, ibunya mula terpikat kepada adik mendiang suaminya yang kacak itu sedangkan anaknya, India sedikit demi sedikit mula mengenali latar belakang pakciknya.

Seorang demi seorang menjadi mangsa bunuh Charlie. Bermula dengan pengasuhnya, kemudian makcik Gin dan seterusnya kawan lelaki India. Semua tindakan itu diperhatikan oleh India.

Ibunya tenggelam dalam angau dan tidak memahami realiti. India menyedari hakikat bahawa wujud satu ancaman dan di rumah agam milik keluarga Stoker itu berlaku pertarungan psikologi antara mereka berdua.

Kelihatan pakciknya seperti seorang pemangsa yang ganas dan tiada belas kasihan, mendidik India pula untuk menjadi pemangsa sepertinya.

Didikan siapakah yang lebih berkesan kepada India? Ayahnya atau pakciknya?

“Sometimes you need to do something bad to stop you from doing something worse.” – Richard Stoker, ayah India.

Hijaunya daun dan putihnya bunga menjadi merah kerana kini telah bersalut darah.

Saya sendiri secara peribadi, sangat kagum dengan ketegangan, tekanan, keresahan, dan misteri yang dicetuskan oleh sinematografinya. Menurut penulisnya, filem ini ada pengaruh filem Alfred Hitchcock, Shadow Of Doubt dalam banyak sudut.

Monsieur Lazhar (2011): Dua sentuhan yang dilarang

Pengarah: Philippe Falardeau
Negara: Kanada
Penilaian: 4 (0)

monsieur-lazhar-wallpaper_380803_32310Selepas menonton filem ini, lama saya berfikir, ‘berapakah penilaian sebenarnya yang sesuai untuk diberikan?’ kerana secara peribadi, Monsieur Lazhar merupakan gaya filem kegemaran saya.

Penceritaan filem ini berjalan dengan tenang dan tidak memberi tekanan kepada penonton. Padahal watak-watak filem ini masing-masing sedang berada di dalam keadaan tekanan akibat trauma yang menimpa mereka.

Filem ini bermula dengan kuat. Saya memberi 5 bintang hanya kepada permulaan filem ini: Simon ternampak mayat guru kelasnya tergantung kerana membunuh diri di dalam kelas.

Permulaannya menyebabkan saya terus terikat untuk menonton sehingga akhir kerana persoalan bercambah bertalu-talu, ‘kenapa gurunya membunuh diri?’ dan ‘kenapa di kelas?’.

Bermulalah episod trauma terutamanya bagi pelajar-pelajar kelas itu, guru-guru lain dan pihak pentadbiran sekolah yang ditekan oleh para ibu bapa. Ketika pihak sekolah mencari pengganti guru kelas baru muncul Monsieur Lazhar menawarkan diri untuk menjadi guru kepada kelas itu.

Monsieur Lazhar merupakan seorang pelarian Algeria yang berhijrah ke Kanada setelah isteri dan dua orang anaknya mati terbunuh kerana rumah mereka terbakar. Kebakaran itu disyaki telah dilakukan oleh pelampau politik yang tidak bersetuju dengan buku yang dihasilkan oleh isterinya.

Bagi saya, keseluruhan filem ini, berkisar tentang trauma yang dihadapi oleh mereka. Bagaimana setiap watak yang mewakili pelbagai latar belakang yang berbeza berinteraksi dengan trauma. Interaksi yang pelbagai dianggap terbaik oleh pihak seperti ibu bapa, guru-guru, dan pakar psikologi tanpa berusaha untuk menyelami perasaan yang dialami. Hakikatnya, kebanyakan tindakan mereka sebenarnya hanya untuk menunjukkan ‘mereka telah melakukan sesuatu’ dan bukannya untuk menyelesaikan masalah.

Trauma (kebakaran dan kematian keluarganya) telah menyebabkan Monsieur Lazhar menyelami perasaan pelajar-pelajarnya lebih dalam berbanding guru-guru lain dan ibu bapa mereka yang berasa bahawa mereka yang paling mengetahui hal dan perasaan anak-anak mereka (ditambah dengan status imigran Monsieur Lazhar yang dianggap baru dan asing di negara atau sekolah itu).

Apabila sudut negatif seorang pelajar dinyatakan oleh Monsieur Lazhar ketika pertemuan dengan ibu bapanya, mereka seakan-akan tidak bersetuju dan berkata, ‘Kami lebih suka kamu supaya mengajar anak perempuan kami, bukan membesarkannya’. Sedangkan ketika berada di dalam fasa perkembangan mental dan fizikal, perkara yang diperlukan oleh pelajar ialah belaian yang mendidik daripada seorang guru.

Hal ini memang berlaku di dunia sebenar. Para guru kini dilarang untuk menyentuh pelajar (isu ini turut dibangkitkan di dalam filem ini apabila Monsieur Lazhar diingatkan supaya tidak menyentuh para pelajar oleh pengetua) sama ada untuk menghukum mereka atau untuk memberikan galakan kepada mereka. Kalau itu yang berlaku, guru tersebut yang akan didakwa atas alasan mengasari pelajar.

Had ini menyebabkan guru-guru tidak dapat untuk meneroka lebih jauh ruang yang sepatutnya diteroka oleh seorang guru bagi memastikan para pelajarnya dapat dibina dengan baik. Apabila anak-anak mereka gagal sama ada di dalam pelajaran atau kehidupan, gurulah orang pertama akan disalahkan. Atas alasan, guru tidak pandai mengajar.

“Semua orang berpendapat kami yang sedang mengalami trauma. Padahal, orang dewasa yang sedang mengalaminya.” salah satu dialog yang diucapkan oleh salah seorang pelajar apabila Monsieur Lazhar memberi peluang kepada pelajar-pelajar di kelasnya untuk membicarakan peristiwa kematian guru mereka, ketika semua orang melarang untuk membicarakannya. Mereka menyangka masalah akan dilupakan apabila didiamkan dan tidak dibicarakan.

Tanpa disedari oleh guru-guru dan ibu bapa, di belakang mereka pelajar-pelajar itu masih berbicara tentang masalah itu dan minda mereka masih terganggu tanpa penyelesaian. Beginilah akibatnya apabila masalah diselesaikan tanpa proses menyelami jiwa mangsa.

Kedua-dua peristiwa di atas, peristiwa ibu bapa melarang sebarang sentuhan serta tidak melepasi batas peranan seorang guru dan penyelesaian masalah tanpa penyelaman jiwa, masing-masing mewakili belaian(sentuhan) fizikal dan belaian mental/emosi yang dilarang oleh semua pihak (khususnya ibu bapa yang salah cara didik) daripada dilakukan oleh guru. Hal ini dijadikan undang-undang yang akhirnya tidak memberi penyelesaian yang baik kepada pembentukan masyarakat.

Monsieur Lazhar tidak menghiraukan undang-undang ini. Dia melepasi batas-batas yang ditetapkan demi kebaikan para pelajarnya, demi menyelesaikan masalah mereka. Beliau bertindak sebagai seorang bapa yang sedang sedih kerana kehilangan anak-anak. Dia risaukan pelajar-pelajar itu seperti dia risaukan anak-anaknya.

Monsieur Lazhar (2011) “Saya risaukan anak-anak itu,” lafaz Monsieur Lazhar ketika tiada seorang pun watak di dalam filem ini melafazkan kerisauan mereka.

Tindakan beliau menyebabkan senyuman terbit semula daripada wajah pelajarnya, selepas tangisan yang diluahkan ketika dia memberi peluang kepada pelajarnya untuk membicarakan masalah mereka, selepas dia memberi pelukan kasih sayang kepada mereka.

Hukum masyarakat jahil, mereka yang melakukan kebaikan akan disingkirkan atas alasan demi kebaikan. Hal ini turut berlaku kepada Monsieur Lazhar, dan sebenarnya hal ini mempunyai kaitan yang besar dengan persoalan ‘kenapa gurunya membunuh diri?’ dan ‘kenapa di kelas?’

Filem ini hebat dengan sinematografi yang kemas dan damai, serta persoalan yang dikupas satu-persatu tanpa buru-buru. Namun begitu, filem ini telah tewas kepada A Separation bagi kategori filem asing terbaik Oscar.

PS: Panjangnya… Ada ke yang baca habis? 🙂