Pahitnya Cinta di Cappadocia

Mula-mula nak komen kulitnya. Manisnya Cinta Di Cappadocia, gaya sinematografinya sangat jarang wujud dalam filem-filem Malaysia. Menangkap shot yang memukau dalam masa sama yang cantik itu seiring dengan mood romantik yang hendak dibina. Tapi, saya rasa janggal dengan gaya pengucapan dialog dalam filem ini. Tak pastilah sengaja atau tidak, nampak tidak realistik.

Seterusnya, komen untuk isi. Saya sentiasa prejudis dengan karya pemegang ijazah master dalam penulisan skrip dan aktivis Sister In Islam, Rafidah Abdullah.

“Nasib baik adik aku tak suka lelaki…” – Via

Dialog yang diucapkan oleh watak Via dalam filem ini. Adik watak itu seorang lelaki, dan dia berkata “nasib baik” seorang lelaki tidak menyukai lelaki? Nampak seperti remeh, tetapi saya telah meletakkan prejudis di tempat pertama apabila menonton filem ini menyebabkan saya tidak merasa senang dengan dialog ini.

Sebabnya, sebelum ini pun Rafidah tidak akan meninggalkan watak LGBT di dalam filemnya. Di dalam filem Kami Histeria, ada seorang gadis pengkid. Di dalam Istanbul aku datang, watak Lisa Surihani yang tinggal serumah dengan lelaki bukan mahramnya menyangka lelaki itu (lakonan Beto) seorang gay dan watak Lisa menyatakan dia tidak kisah watak Beto berorientasi sebegitu.

Saya tidak jelas dengan niatnya. Tapi sangat mencurigakan apabila meletakkan keadaan watak songsang dalam keadaan diiktiraf oleh masyarakat sekelilingnya, seperti dia ingin cuba meletakkan watak itu dalam pemikiran penonton agar turut diiktiraf juga seperti mereka diiktiraf di dalam filem itu.

Seterusnya, watak-watak di dalam filem ini memakai tudung hanya ketika hendak mati, ketika hendak solat, ketika hendak nikah, ketika di kubur. Di luar wilayah itu, seperti tiada agama kelihatannya. Saya tertanya-tanya, apakah elemen sekular ini secara sengaja atau tidak? Memeang hasrat penulis atau idea pengarah filem?

Bukannya salah memakai tudung malah bagus. Cuma apabila keadaan ini berada di dalam filem dan disampaikan dengan cara itu, dan disampaikan pula oleh seorang graduan master dan aktivis SIS, saya agak pemaparan ini bukan kebetulan.

Apa yang saya faham melalui paparan ini, agama hanya berada di satu sudut kehidupan sahaja. Di satu sudut lain, tidak perlu bagi agama untuk masuk campur.

Sebelum ini pun, dalam Kami Histeria, mereka menggunakan Yasin sebagai senjata melawan hantu? Cara melawannya pun juga agak pelik. Bukannya dengan membaca pun, hanya dengan menyentuhkan naskhah yasin, jasad hantu langsuir itu terbakar. Hanya itu ke fungsi agama? Unsur-unsur keagamaan ini, di dalam filem lagi baik tidak perlu dipaparkan langsung daripada paparan yang mengelirukan.

Bagi saya, Rafidah Abdullah seorang aktivis yang sangat dedikasi terhadap ideologinya sehingga berjaya meletakkan pemikiran-pemikirannya secara bersahaja di dalam filemnya.

Karya beliau sangat menyeronokkan penonton. Keseronokan itu boleh menyebabkan penonton menyayangi karya beliau dan mempertahankan segala-gala yang dipersembahkan sama ada baik atau buruk.

Mungkin saya terlalu prejudis, dan mungkin masih ada yang saya terlepas pandang. Sebagai penonton, kita harus lebih berhati-hati. Dan mereka yang berada di luar sana, yang tidak menonton, anda harus berasa risau.

Kerana anda sangat membosankan dalam usaha menyelamatkan masyarakat berbanding mereka.

Advertisements

Monsieur Lazhar (2011): Dua sentuhan yang dilarang

Pengarah: Philippe Falardeau
Negara: Kanada
Penilaian: 4 (0)

monsieur-lazhar-wallpaper_380803_32310Selepas menonton filem ini, lama saya berfikir, ‘berapakah penilaian sebenarnya yang sesuai untuk diberikan?’ kerana secara peribadi, Monsieur Lazhar merupakan gaya filem kegemaran saya.

Penceritaan filem ini berjalan dengan tenang dan tidak memberi tekanan kepada penonton. Padahal watak-watak filem ini masing-masing sedang berada di dalam keadaan tekanan akibat trauma yang menimpa mereka.

Filem ini bermula dengan kuat. Saya memberi 5 bintang hanya kepada permulaan filem ini: Simon ternampak mayat guru kelasnya tergantung kerana membunuh diri di dalam kelas.

Permulaannya menyebabkan saya terus terikat untuk menonton sehingga akhir kerana persoalan bercambah bertalu-talu, ‘kenapa gurunya membunuh diri?’ dan ‘kenapa di kelas?’.

Bermulalah episod trauma terutamanya bagi pelajar-pelajar kelas itu, guru-guru lain dan pihak pentadbiran sekolah yang ditekan oleh para ibu bapa. Ketika pihak sekolah mencari pengganti guru kelas baru muncul Monsieur Lazhar menawarkan diri untuk menjadi guru kepada kelas itu.

Monsieur Lazhar merupakan seorang pelarian Algeria yang berhijrah ke Kanada setelah isteri dan dua orang anaknya mati terbunuh kerana rumah mereka terbakar. Kebakaran itu disyaki telah dilakukan oleh pelampau politik yang tidak bersetuju dengan buku yang dihasilkan oleh isterinya.

Bagi saya, keseluruhan filem ini, berkisar tentang trauma yang dihadapi oleh mereka. Bagaimana setiap watak yang mewakili pelbagai latar belakang yang berbeza berinteraksi dengan trauma. Interaksi yang pelbagai dianggap terbaik oleh pihak seperti ibu bapa, guru-guru, dan pakar psikologi tanpa berusaha untuk menyelami perasaan yang dialami. Hakikatnya, kebanyakan tindakan mereka sebenarnya hanya untuk menunjukkan ‘mereka telah melakukan sesuatu’ dan bukannya untuk menyelesaikan masalah.

Trauma (kebakaran dan kematian keluarganya) telah menyebabkan Monsieur Lazhar menyelami perasaan pelajar-pelajarnya lebih dalam berbanding guru-guru lain dan ibu bapa mereka yang berasa bahawa mereka yang paling mengetahui hal dan perasaan anak-anak mereka (ditambah dengan status imigran Monsieur Lazhar yang dianggap baru dan asing di negara atau sekolah itu).

Apabila sudut negatif seorang pelajar dinyatakan oleh Monsieur Lazhar ketika pertemuan dengan ibu bapanya, mereka seakan-akan tidak bersetuju dan berkata, ‘Kami lebih suka kamu supaya mengajar anak perempuan kami, bukan membesarkannya’. Sedangkan ketika berada di dalam fasa perkembangan mental dan fizikal, perkara yang diperlukan oleh pelajar ialah belaian yang mendidik daripada seorang guru.

Hal ini memang berlaku di dunia sebenar. Para guru kini dilarang untuk menyentuh pelajar (isu ini turut dibangkitkan di dalam filem ini apabila Monsieur Lazhar diingatkan supaya tidak menyentuh para pelajar oleh pengetua) sama ada untuk menghukum mereka atau untuk memberikan galakan kepada mereka. Kalau itu yang berlaku, guru tersebut yang akan didakwa atas alasan mengasari pelajar.

Had ini menyebabkan guru-guru tidak dapat untuk meneroka lebih jauh ruang yang sepatutnya diteroka oleh seorang guru bagi memastikan para pelajarnya dapat dibina dengan baik. Apabila anak-anak mereka gagal sama ada di dalam pelajaran atau kehidupan, gurulah orang pertama akan disalahkan. Atas alasan, guru tidak pandai mengajar.

“Semua orang berpendapat kami yang sedang mengalami trauma. Padahal, orang dewasa yang sedang mengalaminya.” salah satu dialog yang diucapkan oleh salah seorang pelajar apabila Monsieur Lazhar memberi peluang kepada pelajar-pelajar di kelasnya untuk membicarakan peristiwa kematian guru mereka, ketika semua orang melarang untuk membicarakannya. Mereka menyangka masalah akan dilupakan apabila didiamkan dan tidak dibicarakan.

Tanpa disedari oleh guru-guru dan ibu bapa, di belakang mereka pelajar-pelajar itu masih berbicara tentang masalah itu dan minda mereka masih terganggu tanpa penyelesaian. Beginilah akibatnya apabila masalah diselesaikan tanpa proses menyelami jiwa mangsa.

Kedua-dua peristiwa di atas, peristiwa ibu bapa melarang sebarang sentuhan serta tidak melepasi batas peranan seorang guru dan penyelesaian masalah tanpa penyelaman jiwa, masing-masing mewakili belaian(sentuhan) fizikal dan belaian mental/emosi yang dilarang oleh semua pihak (khususnya ibu bapa yang salah cara didik) daripada dilakukan oleh guru. Hal ini dijadikan undang-undang yang akhirnya tidak memberi penyelesaian yang baik kepada pembentukan masyarakat.

Monsieur Lazhar tidak menghiraukan undang-undang ini. Dia melepasi batas-batas yang ditetapkan demi kebaikan para pelajarnya, demi menyelesaikan masalah mereka. Beliau bertindak sebagai seorang bapa yang sedang sedih kerana kehilangan anak-anak. Dia risaukan pelajar-pelajar itu seperti dia risaukan anak-anaknya.

Monsieur Lazhar (2011) “Saya risaukan anak-anak itu,” lafaz Monsieur Lazhar ketika tiada seorang pun watak di dalam filem ini melafazkan kerisauan mereka.

Tindakan beliau menyebabkan senyuman terbit semula daripada wajah pelajarnya, selepas tangisan yang diluahkan ketika dia memberi peluang kepada pelajarnya untuk membicarakan masalah mereka, selepas dia memberi pelukan kasih sayang kepada mereka.

Hukum masyarakat jahil, mereka yang melakukan kebaikan akan disingkirkan atas alasan demi kebaikan. Hal ini turut berlaku kepada Monsieur Lazhar, dan sebenarnya hal ini mempunyai kaitan yang besar dengan persoalan ‘kenapa gurunya membunuh diri?’ dan ‘kenapa di kelas?’

Filem ini hebat dengan sinematografi yang kemas dan damai, serta persoalan yang dikupas satu-persatu tanpa buru-buru. Namun begitu, filem ini telah tewas kepada A Separation bagi kategori filem asing terbaik Oscar.

PS: Panjangnya… Ada ke yang baca habis? 🙂

Filem Pilihan 2012

Saya menyenaraikan filem pilihan 2012 berdasarkan penilaian peribadi yang telah diberikan kepada filem-filem yang ditonton pada tahun ini tidak mengira tahun filem itu diterbitkan. Penilaian boleh difahami dengan merujuk batang sisi kanan (right sidebar) kerana saya ada meletakkannya di situ.

Secara keseluruhannya, sepanjang tahun 2012, hanya dua filem yang mendapat 5 bintang dan saya akan memilih filem pilihan 2012 daripada salah satu filem tersebut. Selepas ini, jika berpeluang saya akan berkongsi beberapa filem lain yang ditonton pada 2012 serta disukai dan saya anggap harus ditonton oleh pembaca.

Barangkali akan ada pembaca tidak bersetuju dengan pilihan saya ini, namun apalah sangat yang boleh dibuat oleh saya yang amatur ini. 🙂

Filem yang mendapat 5 bintang

Kebetulan, kedua-dua filem yang diberi 5 bintang merupakan filem samurai dan kedua-duanya daripada Jepun. Untuk memahami filem samurai, kena buat sedikit pembacaan tentang sejarah Jepun dan latar masyarakat ketika itu terutamanya beberapa tahun sebelum pemulihan Meiji.

The Twilight Samurai (2002) [Filem Pilihan 2012]
Pengarah: Yoji Yamada
Penilaian: 5.0 (0)

The_Twilight_Samurai_Seibei

Seibei (Hiroyuki Sanada) dan dua orang anaknya

Filem ini telah memenangi filem terbaik di Japanese Academy Award pada tahun 2003 dan tercalon di Oscar dalam kategori filem asing terbaik pada tahun 2004 tetapi tewas.

Keunikan filem ini adalah pada watak utamanya iaitu Seibei Iguchi (Hiroyuki Sanada), seorang samurai yang bekerja sebagai akauntan di sebuah gudang makanan kepunyaan keluarga besarnya (clan). Seibei berbanding rakan-rakannya yang lain merupakan seorang samurai yang berpangkat rendah. Isterinya telah meninggal dunia kerana sakit TB dan dia mempunyai dua orang anak serta seorang ibu yang nyanyuk.

Kehidupannya digambarkan sebagai sebagai seorang yang tidak bernasib baik tetapi sedikit demi sedikit dipamerkan sisi keperwiraannya dan betapa dia merupakan seorang ayah yang membanggakan melalui peristiwa-peristiwa di dalam filem ini.

Sedangkan pada zaman ini, menurut Seibei sendiri, “Zaman pedang sudah berakhir”. Samurai pada saat ini tidak lagi berperanan seperti zaman sebelumnya. Senjata-senjata pada ketika itu sudah mula ditukarkan kepada senjata api berupa senapang dan meriam. Samurai pada zaman ini hanyalah status.

Filem ini menunjukkan seorang samurai yang kalau dulu mereka berjuang menghadapi musuh di medan perang, tetapi kini tidak lagi. Perjuangan mereka kali ini adalah untuk meneruskan kehidupan. Pertarungan atau peperangan akan meletakkan mereka di dalam dilema kerana tanggungjawab yang dipikul dan kesan daripada pertarungan yang bakal dihadapi terhadap tanggungjawab itu.

“Saya malu untuk mengatakan bahawa selepas beberapa tahun melalui kepayahan dengan dua orang anak perempuan, seorang isteri yang sakit, dan seorang ibu yang tua, saya sudah kehilangan keinginan untuk menghunuskan pedang.” – Seibei Iguchi

Malangnya, mereka sebagai samurai yang berada di dalam dilema itu telah digunakan oleh para pemimpin untuk memenuhi hasrat atau nafsu tamak kuasa mereka. Konsep harakiri/seppuku, simbol kesetiaan seorang samurai telah digunakan sewenang-wenangnya oleh para pemimpin untuk mengukuhkan kuasa mereka.

Detik paling menarik ialah apabila Seibei dipertemukan di dalam satu pertarungan atas arahan pemimpinnya dengan seorang samurai yang enggan melakukan harakiri kerana dia menyedari kepincangan ini. Paling mengejutkan, kehidupan samurai itu seiras dengan kehidupannya yang penuh dilema dan tanggungjawab.

Filem ini diakui oleh ramai pengulas bahawa tidak seperti filem samurai lain. Bagi saya, boleh diumpamakan filem samurai lain banyak menceritakan tentang pedang, filem The Twilight Samurai pula lebih menceritakan tentang orang yang menghunus pedang.

Seven Samurai (1954)
Pengarah: Akira Kurosawa
Penilaian: 5.0 (X)

Tujuh orang samurai

Tujuh orang samurai (di dalam gambar ini ada enam orang sahaja)

Tiada apa-apa yang boleh dipertikaikan terhadap karya agung Akira Kurosawa ini. Segala-galanya disusun dengan penuh kesempurnaan dan keajaiban. Dijadikan sumber rujukan oleh karyawan Barat dan merupakan batu penanda yang telah menaikkan kredibiliti Kurosawa sebagai salah seorang pengarah tersohor di abad ini.

Kisah berkisar di sebuah kampung yang diserang oleh perompak. Penghuni desa yang merupakan para petani mencari ronin (samurai tanpa tuan) untuk diupah bagi melindungi kampung itu. Mereka menemui Kambei Shimada, seorang ronin yang cerdik dan mempunyai sifat kepemimpinan yang tinggi. Kambei (Takashi Shimura) telah merekrut enam orang lagi ronin yang masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri. Mereka bertujuh telah memimpin para petani untuk menentang para perompak dan melindungi kampung itu.

Saya sendiri agak terpegun melihat hasil kerja Kurosawa yang sangat teliti dan lakonan para pelakonnya yang sangat mantap. Bagaimana tujuh orang ronin dan para petani (ramai yang lemah tetapi berjaya disatukan dan diatur dengan baik oleh Kambei agar tersusun dan berstrategi) menyiapkan kampung bagi menghadapi perompak (ramai, kuat dan berkelengkapan serta mempunyai kelebihan dari segi psikologi kerana cerita-cerita yang menakutkan tentang mereka dan lemahnya jati diri/keyakinan masyarakat petani) telah dibentangkan dengan baik oleh Kurosawa dengan visual dan perjalanan cerita yang sangat kemas.

Tidak hairanlah kenapa filem ini telah dibikin semula oleh Hollywood sebagai The Magnificient Seven.

Filem 2012 – 4.5 bintang

Ikiru (1952) – Akira Kurosawa [4.5 (0)]
The Hidden Blade (2004) – Yoji Yamada [4.5 (0)]
Into The Wild (2007) – Sean Penn [4.5 (X)]
A Separation (2011) –  Asghar Farhadi [4.5 (0)]

Grading criteria

The dancer and choreographer Agnes de Mille once said, “Living is a form of not being sure, not knowing what next or how. The moment you know how, you begin to die a little. The artist never entirely knows, we guess. We may be wrong, but we take leap after leap in the dark.” Just as de Mille once stated I, Kim Anehall, will leap into the dark trying to give an independent and fair effort to appreciate the art that is created in the world of cinema. This effort will be depicted through a 10-point scale where one will reflect as the lowest while 10 will be considered the highest. Nonetheless, all grading and reviews at Cinematica will, unfortunately, be affected by some subjective views since it is next to impossible to erase values, morals, and beliefs that we have obtained over years of existence. However, what is valued the most at Cinematica is the artist’s free creativity, integrity, and wisdom shared with the audience through his or her personal approach to convey their story.

Continue reading