Tombiruo: Penunggu Rimba

Terdapat pelbagai reaksi penonton selepas menonton filem adaptasi novel Ramlee Awang Murshid, Tombiruo: Penunggu Rimba. Rata-rata memberi komen positif, tidak ketinggalan menyatakan perasaan tidak puas hati kerana terjemahan novel yang tidak mencapai tahap imaginasi yang diingini oleh pembaca novel ini.

Penulis secara peribadi belum berpeluang membaca novel ini, namun berpendapat filem ini harus diapresiasi sebagai filem itu sendiri tanpa dibandingkan dengan novelnya, kerana bagusnya filem itu bukan diukur berdasarkan sejauh mana setia pada novel yang diadaptasi. Apatah lagi turut dilaporkan di blog-blog berita bahawa penulisnya sendiri berpuas hati pada hasil adaptasi ini.

Ada juga penonton yang berpendapat bahawa Tombiruo ialah adiwira tempatan yang baru dan lebih asli berbanding filem adiwira seperti Cicak Man yang merupakan cedukan daripada karya luar.

Filem ini sebenarnya boleh dianggap sebagai satu pencapaian baru pada sudut kualiti bagi filem-filem aksi. Dalam menilai filem ini sebagai sebuah filem, tanpa membandingkan dengan novel, filem ini adalah sangat baik gaya persembahannya.

Menceritakan tentang Tombiruo, yang bermakna penunggu hutan menurut kepercayaan masyarakat tempatan di hutan Keningau, Sabah. Ejim (Zul Ariffin) merupakan seorang anak yatim piatu yang dibela oleh seorang bekas tentera bernama Pondolou (Faizal Hussein). Ejim ditemui oleh Pondolou setelah diselamatkan oleh seorang bomoh wanita daripada dibunuh oleh bapanya sendiri dengan dihanyutkan di sungai. Boleh dikatakan Ejim merupakan insan terpilih yang sentiasa dilindungi oleh semangat hutan sepanjang diasuh oleh Pondolou.

Hutan menerima ancaman daripada kapitalis yang diperanankan oleh Syarikat Anak Bumi. Kematian Pondolou kerana terbunuh ketika menentang penganiayaan yang didalangi oleh Syarikat Anak Bumi telah menimbulkan kemarahan Ejim menyebabkan dia nekad untuk terus menentang Anak Bumi di samping menuntut bela atas kematian ayah angkatnya itu.

Dalam penentangan itu, turut berlaku konflik antara Ejim dengan Amiruddin (Farid Kamil) yang baru kematian isteri dan ayah mertuanya. Amiruddin menyangka Ejim yang telah membunuh isteri dan ayah mertuanya. Secara keseluruhannya, filem ini merupakan pertembungan antara kapitalis yang ingin memusnahkan hutan dengan pelindung hutan yang diwakili oleh Ejim atau Tombiruo.

Dua syot yang menarik perhatian penulis, boleh dikatakan sebagai paparan mise en scene yang baik. Pertama, ketika Ejim merangkul Pondolou yang terbunuh akibat tembakan. Di belakang mereka terdapat rumah yang terbakar dengan api yang sangat marak. Kemudian, Ejim menjerit sambil merangkul mayat Pondolou. Kemarakan api itu menterjemahkan suasana kemarahan yang turut sedang marak di dalam diri Ejim kerana pembunuhan Pondolou ditambah dengan semua penganiayaan yang telah dilakukan oleh kapitalis Anak Bumi.

Kedua, babak Amiruddin terserempak dengan Juslan setelah dia mengetahui Juslan merupakan dalang di sebalik kejahatan yang dilakukan secara tersembunyi oleh Juslan di belakang. Ketika itu, Juslan sedang bersandar di sebatang pokok balak yang sudah tumbang di dalam hutan. Pemaparan babak ini boleh dianggap mengandungi kekuatan makna tentang perwatakan Juslan. Pokok yang tumbang itu ialah hasil kejahatan Juslan, berada di belakangnya menunjukkan dialah merupakan dalangnya dan dia bersandar padanya menunjukkan dia mampu berdiri di situ kerana perbuatan khianatnya itu.

Begitulah secara umum yang dapat penulis tangkap di sepanjang tontonan. Sebagai sebuah filem aksi, filem ini boleh dikatakan sebuah filem yang baik berbanding filem-filem lain. Penghasilannya dibuat dengan teliti dan cermat kerana harus memenuhi piawai penulis asal karya dan dipimpin oleh pengarah dari luar.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s