Balada Pencinta

Filem ini seharusnya ditonton. Walaupun bukan yang terbaik, tetapi bagi saya filem ini antara filem yang baik berdasarkan penilaian amatur peribadi.

Bagi saya, filem yang baik ialah filem yang menggerakkan, terutamanya unsur positif dalam diri. Sebabnya, setiap perbuatan akan ditanya nanti di akhirat. Apabila filem yang ditonton itu tidak menggerakkan apa-apa atau lebih teruk lagi menggerakkan nilai-nilai negatif dalam diri penonton (manusia), boleh dikatakan perbuatan itu sia-sia sehingga boleh berdosa, walaupun dari segi penilaian sarjana filem dikategorikan sebagai sempurna.

Pengenalan awal itu saya kaitkan dengan beberapa unsur negatif yang dipaparkan dalam filem ini yang bagi saya tidak sepatutnya ditayangkan atau dilakonkan. Indahnya filem ini menjadi cacat dengan beberapa babak seperti betis perempuan, peluk-memeluk, dunia gangster tembak-menembak dan pergaduhan. Barangkali disebabkan oleh semua unsur ini Balada Pencinta dikategorikan sebagai PG13.

Tidak bermaksud apabila pengarah Khir Rahman ingin menerapkan nilai komersial di dalam filem beliau harus menerapkan unsur-unsur rosak seperti yang disuntik dalam kebanyakan filem lain di Malaysia ini.

Pada awal filem ini yang bagi saya olahannya sangat menarik dan tidak klise (seperti kebanyakan filem dan drama tempatan) bagaimana falsafah cinta dan perasaan cinta dilagukan dengan indah melalui penampilan lakonan oleh para pelakon dan dialog idea khir rahman sehingga saya berasa sangat dekat dengan hati segala butir hikmah dan situasi yang dipaparkan oleh visual yang diadun dengan penuh teliti dan kemas.

Watak-watak yang dipaparkan sangat real bagai menggambarkan peribadi salah seorang daripada penonton sendiri sehingga kita boleh melihat mereka sebenarnya adalah diri kita atau diri rakan-rakan di sekeliling kita. Begitu juga dengan peristiwa-peristiwa cinta memang bagaikan balada yang dialunkan merdu seiring dengan muzik latar dengan liriknya yang kena dengan setiap peristiwa. Warna-warni visual menambahkan lagi keindahan cinta dan satu-satu keindahan itu menuju sentimental fitrah pengertian balada iaitu kesedihan.

Perasaan saya pada awalnya seperti di atas apabila menonton dua pertiga filem ini. Hakikatnya, tiada manusia sempurna. Apabila sampai pada satu perempat pengakhiran daripada filem ini, saya sudah mula mempertikaikan “kenapa begini?” dan “tidak sepatutnya begini”. Komersialkah begini ataupun filem ini menjadi mangsa komersial?

Namun begitu, sebahagian filem ini bagi saya bagus dan menghiburkan dengan pengisian yang mengajar. Terutamanya watak Majid yang dibawa oleh Azhan Rani yang sangat dinamik, perubahan yang boleh dijangka tetap tragik, menjelaskan bahawa cakap-cakap tidak sama dengan hakikat. Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Ujian sebenar ialah selepas kita berbicara dan menghadapinya sendiri. Persoalan yang dipaparkan ialah adakah kita mampu atau tidak mempraktikkan segala kata-kata kita.

Filem Balada Pencinta memang sebuah balada untuk para pencinta. Saya tabik pengarah Khir Rahman atas usaha beliau menyuntik kualiti dalam filem sebegini yang bagi saya kalau dapat pada pengarah lain akan menjadi satu lagi produk klise.

Terima kasih kerana menggerakkan perasaan saya!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s