Fahami sastera sebelum adaptasi

Oleh A. Ghani Mohamad

BETAPA tidak berertinya seseorang pengarah filem itu sekiranya tidak dapat menghayati sastera. Mereka mungkin berjaya menguruskan mesin yakni kamera dan kerja-kerja di studio tetapi gagal menyelami jiwa manusia. Kenyataan ini diluahkan oleh pengarah tersohor Asia, Teguh Karya dari Indonesia.

Sastera adalah cermin kepada sesuatu bangsa atau masyarakat. Kalau penghayatan dan penghasilan karya sasteranya rendah maka rendahlah nilai tamadun bangsa berkenaan. Malah definisi negara maju juga meletakkan kedudukan tinggi kepada kesusasteraan kerana ini yang akan mengimbangkan antara tuntutan fizikal dan rohani.

Saya teringat kata-kata Teguh Karya apabila menghadiri program Wawancara Sofa Putih anjuran Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) baru-baru ini yang membariskan Penolong Pengarang Mingguan Malaysia Ku Seman Ku Hussain dan Pengarang Sastera Berita Harian, Salbiah Ani sebagai panel. Moderator adalah Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar.

Isu yang dibahaskan oleh kedua-dua panel adalah sejauh manakah kejayaan adaptasi karya sastera ke filem, drama dan teater di negara ini. Terima kasih kepada ITBM kerana mengemukakan isu yang menjadi barah dalam dunia perfileman dan drama kita pada masa ini. Moga-moga program ini memberikan pencerahan kepada pengarah dan penerbit supaya lebih bertanggungjawab kepada khalayak selain memikirkan keuntungan peribadi.

Kedua-dua panel hanya bertentangan pendapat mengenai definisi adaptasi tetapi bersetuju bahawa adaptasi karya sastera ke filem dan juga drama televisyen kita berada pada tahap yang buruk. Ini diburukkan lagi dengan sikap penerbit filem atau drama yang memilih karya yang sama sekali tidak berkualiti, sikap pengarah yang mementingkan komersialisme dan khalayak yang tidak mempunyai penghayatan tinggi terhadap karya sastera berkualiti.

Maka karya adaptasi yang buruk inilah yang dihidangkan kepada khalayak kita, sedangkan di negara maju sudah lama menjadikan adaptasi sebagai satu sinergi untuk membawa karya sastera berkualiti kepada khalayak. Pemikiran hebat sasterawan dalam karya sastera di negara maju dapat dihadam oleh khalayak menerusi filem sebegini. Tetapi pada masa yang sama mereka tidak menyalin atau memindahkan novel ke filem seperti yang pengarah kita lakukan.

Ketika ini di televisyen kita banyak drama yang didakwa diadaptasi daripada karya sastera. Hal ini meninggalkan kesan buruk kepada khalayak kerana karya yang diadaptasi bukan bertaraf karya sastera kerana nilainya hanya terarah kepada hedonisme. Dengan program wawancara ini, kita telah dijernihkan bukan sahaja tentang definisi adaptasi malah panel menolak kerja-kerja menjual karya murahan sebagai bahan kandungan dalam drama tempatan.

Contoh yang dikemukakan oleh panel bahawa filem Laskar Pelangi arahan Riri Riza diangkat dari novel judul yang sama karya Andrea Hirata sebagai adaptasi berjaya membuka pemikiran khalayak untuk menilai tahap drama dan filem adaptasi kita yang terlalu rendah, remeh dan murahan. Kebanyakan drama yang diadaptasi dari novel yang ditayangkan di televisyen kita jauh daripada mencapai tahap adaptasi Laskar Pelangi.

Faktor kejayaan karya ini ialah bahan sastera yang diadaptasi iaitu novel Laskar Pelangi itu sendiri sebuah karya yang hebat, membawa pemikiran besar dan subteks atau wacana yang melampaui ceritanya. Keduanya, pengarah dan penulis yang mengadaptasi tahu bidang peranan apabila berhadapan dengan karya sastera. Kedua-duanya iaitu novel dan filem menjadi karya yang hebat walaupun tidak memindahkan sepenuhnya isi dalam novel.

Daripada program Wawancara Sofa Putih ini bolehlah dirumuskan bahawa kedua-dua panel bersepakat bahawa filem, teater dan drama adaptasi negara ini tidak mencapai tahap yang selayaknya. Mereka tetap meletakkan pertimbangan nilai untuk diberikan kepada penonton sebagai keutamaan dalam keghairahan mengadaptasi karya sastera.

Salbiah Ani misalnya secara jujur mengaku beliau tidak membenarkan anak remajanya membaca Ombak Rindu kerana “kurang sesuai” dengan nilai masyarakat kita dan menganggap teater Natrah arahan Erma Fatima sebagai tersasar jauh. Ini satu kenyataan yang jujur dan berani walaupun tidak ada yang mempersoalkan filem Ombak Rindu dan juga teater Natrah secara terbuka.

Ku Seman pula yang digelar “ekstremis” oleh Sayed Munawar dengan tegas tidak mahu bertolak ansur dengan pemusnahan nilai yang dilakukan dalam drama-drama adaptasi yang membiak di stesen televisyen kita. Baginya untuk apa menghidupkan atau memajukan industri drama kalau ia merosakkan nilai dan peribadi generasi muda kita.

Dunia buku dalam konteks negara ini tidak harus dibiarkan bersendirian. Kalau di Barat buku yang popular menjadi jambatan untuk menarik penonton apabila dibawa ke filem. Tetapi fenomena di negara ini berbeza. Kerana itu wajar ada usaha timbal balik antara dunia buku dengan medium- medium lain yang lebih dominan dalam masyarakat.

Apabila sesebuah novel diadaptasi ke filem, maka ia adalah sebuah karya baru yang menuntut alam dan pemikiran baru. Barangkali semangat dan motifnya menjadi begitu berbeza dan ini sering mengganggu penulis novel. Ini belum lagi novel besar jatuh ke tangan pengarah kerdil yang hanya bercita-cita besar. Hasilnya novel besar dirasakan hanyut bersama ketidaksampaian pengarah yang kerdil tadi.

Proses transformasi daripada naratif teks kepada visual tidak boleh berlaku secara mudah. Ini bukan sekadar memindahkan tetapi di tengah-tengahnya harus ada tafsiran baru. Penulis novel wajar menerima hakikat bahawa novelnya akan melahirkan “anak” yang serupa tetapi banyak yang tidak sama.

Contohnya filem Langit Petang dan novel Langit Petang banyak berbeza. Tumpuan juga berbeza malah ada beberapa pengkisahan dalam novel tidak divisualkan dalam filem. Tetapi yang penting kita boleh melihat sebuah karya baru yang lahir daripada novel Langit Petang.

Hanya pengarah yang hebat saja mampu mengadaptasi novel yang hebat. Pengarah sememangnya boleh menambah, mencantas atau mengalih tumpuan sesebuah karya novel. Tetapi kerja mencantas juga memerlukan ilmu. Tanpa ilmu mencantas atau menambah seumpama tikus membaiki labu.

Pengarah filem Griffith pernah mendakwa banyak teknik daripada filem-filem arahannya diangkat dari novel-novel karya Charles Dickens. Dickens adalah antara sasterawan besar abad ke-18 yang banyak merakamkan secara kreatif pergolakan sosial dan politik di England. Griffith dihubungkan dengan Dickens menerusi sastera dan dia memanjangkan ke medium filem.

Kesusasteraan dan filem saling bertimbal balik. Kedua-duanya saling memerlukan antara satu dengan lain. Hal ini tidak berlaku di negara ini kerana sastera kelihatan sangat terasing daripada dunia filem. Bidang perfileman seolah-olah mahu berdiri sendiri tanpa melihat tradisi filem Barat yang disokong oleh kekuatan nilai sasteranya. Sinergi ini mesti diperkasakan di negara ini.

Novel klasik karya Jane Austen, Sense and Sensibility diadaptasi oleh Ang Lee dengan menakjubkan sekali. Sebagai pengarah dari Asia, Ang Lee membuktikan bahawa siapa saja boleh menjadi pengarah kepada filem yang berlatarkan masyarakat asing kalau mendalami seni kesusasteraan selain memahami budaya. Hubungan Ang Lee dengan karya kesusasteraan membuktikan bahawa seorang pengarah besar tidak boleh menolak peri pentingnya menghayati karya sastera.

Filem yang baik menuntut stamina dan persiapan minda. Tidaklah filem namanya kalau ia bercerita tentang dunia realiti yang selapis di depan mata. Kerana itu apabila sebuah novel diadaptasikan ke filem, adakalanya filem menjadi lebih diingati daripada novelnya. Ini adalah suatu fenomena biasa apabila pengaruh sinematik lebih kuat kesannya kepada manusia berbanding teks.

Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Sastera/20130505/sa_03/Fahami-sastera-sebelum-adaptasi#ixzz2TgSK4Eju
© Utusan Melayu (M) Bhd

Leave a comment