Menangani filem tempatan menghina Islam

Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN

ku_seman@yahoo.com

KETIKA kontroversi filem Innocence of Muslims yang disiarkan di YouTube September lalu, banyak pihak di negara ini mengecam filem itu sebagai menghina Islam. Malah dalam kalangan pengarah dan penerbit filem tempatan pun turut mengecam filem yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Sesiapa pun yang waras tidak akan mempertahankan filem ini. Innocence of Muslims bukan dihasilkan oleh pengarah atau penerbit Islam. Filem ini dihasilkan oleh bukan Islam dengan matlamat menghina orang Islam.

Tindakan mengecam filem ini termasuk dalam kalangan penggiat industri filem adalah suatu yang baik. Ini menunjukkan mereka peka terhadap sesuatu yang menghina agama rasmi negara ini.

Baru-baru ini pula tercetus satu lagi kontroversi apabila pelakon dan bekas juruhebah radio, Patrick Teoh mengeluarkan kenyataan menghina Islam dalam laman sosialnya. Kenyataan Patrick memang suatu yang melampau kerana menyentuh tentang kesucian agama Islam. Tetapi Patrick dengan cepat mengakui kesilapannya serta meminta maaf kepada seluruh umat Islam.

Isu Patrick menghina Islam ini juga turut mengundang kecaman daripada pelbagai pihak termasuk kalangan artis sendiri. Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) misalnya dengan lantang mengecam kenyataan Patrick. Tindakan Seniman dan pihak lain juga memang kena pada tempatnya.

Saya sama sekali tidak menafikan bahawa kedua-dua kejadian di atas adalah menghina Islam. Tetapi saya melihat isu menghina Islam ini juga wujud dalam sesetengah filem dan drama televisyen yang dihasilkan orang tempatan sendiri.

Filem sebagai sebuah karya seni yang menuntut pemikiran dan tanggungjawab mesti kembali kepada asas iaitu keindahan bentuk, kandungan, rasa dan mesti berfaedah kepada bangsa. Bentuk adalah paparan yang dilihat, kandungan adalah naratif yang membawa wacana, rasa adalah hubungan pengkarya dan khalayak. Semua ini mesti bersatu untuk menyumbang kepada pembinaan bangsa. Apa yang banyak berlaku dalam filem tempatan tiada keindahan bentuk dan kandungan. Kesannya walau sehebat mana sekalipun sambutannya, filem ini tidak menyumbang kepada bangsa.

Kerana itu sesebuah filem boleh dikelaskan sebagai menghina Islam apabila pengarah Islam di negara Islam mencipta adegan pelakon lelaki dan wanita Islam melakonkan babak semi porno dengan begitu terperinci. Adegan begini bukan lagi suatu yang luar biasa. Anehnya adegan begini hampir tidak ada dalam filem Melayu yang dibiayai oleh kapitalis Hong Kong dan diarahkan oleh pengarah dari India pada dekad 1940-an hingga 1960-an di Singapura. Padahal ketika itu penerbit dan pengarahnya adalah orang luar dari latar budaya dan agama yang berbeza.

Sekarang telah menjadi satu kecenderungan filem tempatan untuk memperdagangkan adegan semi porno dan bergomol lelaki wanita bagi menarik penonton. Pengarah dan penerbit memberi helah, adegan itu terpaksa dicipta kerana kehendak cerita sekalipun menghina Islam. Mereka memperdaya khalayak termasuk pihak penapis kononnya ini bukan menghina Islam tetapi sebuah karya seni. Tidak cukup dengan itu ada pula pelakon wanita yang melakukannya menganggap “kejayaan” melakonkan adegan itu sebagai satu kemuncak kerjaya seninya.

Kita mempersoalkan apakah tujuan mewujudkan adegan seperti itu sedangkan ada cara lain untuk memberitahu tentang perkara yang sama tanpa memaparkannya? Lihatlah filem-filem mengenai mat rempit, gengster atau bohsia, adegan ini adalah satu yang wajib dipaparkan. Untuk memberi mesej, kata pengarahnya.

Pernahkah kita melabelkan pengarah yang membuat adegan melondeh pelakon wanita Islam sebagai menghina Islam?

Kalau Patrick mengaku kesilapannya menghina Islam, pengarah dan pelakon ini tidak mengakui kesilapan mereka malah terus melakukannya. Baru-baru ini seorang pelakon lelaki memuji keterbukaan seorang pelakon wanita kerana bersikap “profesional” membenarkan dia mencium dahi pelakon wanita berkenaan dalam sebuah drama. Kenyataan ini diberikan secara sedar, terbuka dengan penuh bangga. Tetapi tidak ada sepatah pun reaksi dalam kalangan kita yang mengatakan kenyataan itu keterlaluan.

Begitu juga lebih kurang dua bulan lalu, sebuah stesen televisyen telah menyiarkan adegan pelakon wanita mencium pipi pelakon lelaki pada waktu perdana. Kalau sebelum ini hanya filem untuk tayangan di pawagam sahaja ada adegan begini, sekarang sudah menyusup ke dalam drama televisyen. Semuanya berlalu tanpa sebarang kontroversi.

Walaupun kehidupan artis selalu dikaitkan dengan seks bebas, ketagih arak, bersekedudukan dan sebagainya, perkara itu masih boleh dianggap peribadi selagi tidak disaksikan oleh umum. Khalayak yang bukan dalam kalangan artis mungkin tidak melihat perbuatan itu. Tetapi kewujudan adegan semi porno yang terperinci boleh dilihat dengan mudah oleh semua orang termasuk kanak-kanak. Babak pelakon wanita Islam cium pipi pelakon lelaki Islam pun sudah sampai ke ruang tamu rumah kita.

Ini belum lagi mengenai naratif yang seolah-olah sengaja memberikan paparan sangat buruk mengenai masyarakat Islam di negara ini. Malah ada usaha memberikan imej hitam kepada watak ulama sebagai perogol, pencabul atau penipu. Memang ada kes terpencil begini tetapi apa perlunya digambarkan seolah-olah satu fenomena? Pada masa yang sama pelacur, pegawai perhubungan pelanggan (GRO) diberi watak putih dengan alasan mereka terpaksa demi mencari rezeki. Semua ini tentulah diluluskan oleh Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF).

Menangani adegan yang menghina Islam tidak boleh diharapkan kepada LPF. Kalau boleh diharapkan tentu tidak adalah adegan semi porno selain paparan pergaulan yang melampaui batas. Sebenarnya tidak ada pihak yang mengaku bertanggungjawab menangani isu ini. LPF tentulah ada jawapannya. Kita ada pihak berkuasa dalam hal ehwal Islam seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), tetapi setakat ini mereka tidak menunjukkan kuasa. Jakim juga ada jawapannya. Akhirnya semua ini samalah dengan lagu Bangau Oh Bangau, tidak ada siapa yang mahu bertanggungjawab.

Mengambil kira kemerdekaan yang melampaui setengah abad, sepatutnya kita mempunyai kebebasan untuk menentukan corak karya yang sesuai status negara Islam yang kita miliki. Tidak ada pihak luar yang boleh campur tangan dan menafikan kebebasan kita berfikir seterusnya diperlihatkan dalam karya. Sebaiknya Jakim sudah ada kerangka ke arah melahirkan filem dan drama yang patuh syariah. Kalau bukan Jakim, pihak mana lagi?

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130127/re_14/Menangani-filem-tempatan-menghina-Islam#ixzz2JC1wXPhN
© Utusan Melayu (M) Bhd

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s