Monsieur Lazhar (2011): Dua sentuhan yang dilarang

Pengarah: Philippe Falardeau
Negara: Kanada
Penilaian: 4 (0)

monsieur-lazhar-wallpaper_380803_32310Selepas menonton filem ini, lama saya berfikir, ‘berapakah penilaian sebenarnya yang sesuai untuk diberikan?’ kerana secara peribadi, Monsieur Lazhar merupakan gaya filem kegemaran saya.

Penceritaan filem ini berjalan dengan tenang dan tidak memberi tekanan kepada penonton. Padahal watak-watak filem ini masing-masing sedang berada di dalam keadaan tekanan akibat trauma yang menimpa mereka.

Filem ini bermula dengan kuat. Saya memberi 5 bintang hanya kepada permulaan filem ini: Simon ternampak mayat guru kelasnya tergantung kerana membunuh diri di dalam kelas.

Permulaannya menyebabkan saya terus terikat untuk menonton sehingga akhir kerana persoalan bercambah bertalu-talu, ‘kenapa gurunya membunuh diri?’ dan ‘kenapa di kelas?’.

Bermulalah episod trauma terutamanya bagi pelajar-pelajar kelas itu, guru-guru lain dan pihak pentadbiran sekolah yang ditekan oleh para ibu bapa. Ketika pihak sekolah mencari pengganti guru kelas baru muncul Monsieur Lazhar menawarkan diri untuk menjadi guru kepada kelas itu.

Monsieur Lazhar merupakan seorang pelarian Algeria yang berhijrah ke Kanada setelah isteri dan dua orang anaknya mati terbunuh kerana rumah mereka terbakar. Kebakaran itu disyaki telah dilakukan oleh pelampau politik yang tidak bersetuju dengan buku yang dihasilkan oleh isterinya.

Bagi saya, keseluruhan filem ini, berkisar tentang trauma yang dihadapi oleh mereka. Bagaimana setiap watak yang mewakili pelbagai latar belakang yang berbeza berinteraksi dengan trauma. Interaksi yang pelbagai dianggap terbaik oleh pihak seperti ibu bapa, guru-guru, dan pakar psikologi tanpa berusaha untuk menyelami perasaan yang dialami. Hakikatnya, kebanyakan tindakan mereka sebenarnya hanya untuk menunjukkan ‘mereka telah melakukan sesuatu’ dan bukannya untuk menyelesaikan masalah.

Trauma (kebakaran dan kematian keluarganya) telah menyebabkan Monsieur Lazhar menyelami perasaan pelajar-pelajarnya lebih dalam berbanding guru-guru lain dan ibu bapa mereka yang berasa bahawa mereka yang paling mengetahui hal dan perasaan anak-anak mereka (ditambah dengan status imigran Monsieur Lazhar yang dianggap baru dan asing di negara atau sekolah itu).

Apabila sudut negatif seorang pelajar dinyatakan oleh Monsieur Lazhar ketika pertemuan dengan ibu bapanya, mereka seakan-akan tidak bersetuju dan berkata, ‘Kami lebih suka kamu supaya mengajar anak perempuan kami, bukan membesarkannya’. Sedangkan ketika berada di dalam fasa perkembangan mental dan fizikal, perkara yang diperlukan oleh pelajar ialah belaian yang mendidik daripada seorang guru.

Hal ini memang berlaku di dunia sebenar. Para guru kini dilarang untuk menyentuh pelajar (isu ini turut dibangkitkan di dalam filem ini apabila Monsieur Lazhar diingatkan supaya tidak menyentuh para pelajar oleh pengetua) sama ada untuk menghukum mereka atau untuk memberikan galakan kepada mereka. Kalau itu yang berlaku, guru tersebut yang akan didakwa atas alasan mengasari pelajar.

Had ini menyebabkan guru-guru tidak dapat untuk meneroka lebih jauh ruang yang sepatutnya diteroka oleh seorang guru bagi memastikan para pelajarnya dapat dibina dengan baik. Apabila anak-anak mereka gagal sama ada di dalam pelajaran atau kehidupan, gurulah orang pertama akan disalahkan. Atas alasan, guru tidak pandai mengajar.

“Semua orang berpendapat kami yang sedang mengalami trauma. Padahal, orang dewasa yang sedang mengalaminya.” salah satu dialog yang diucapkan oleh salah seorang pelajar apabila Monsieur Lazhar memberi peluang kepada pelajar-pelajar di kelasnya untuk membicarakan peristiwa kematian guru mereka, ketika semua orang melarang untuk membicarakannya. Mereka menyangka masalah akan dilupakan apabila didiamkan dan tidak dibicarakan.

Tanpa disedari oleh guru-guru dan ibu bapa, di belakang mereka pelajar-pelajar itu masih berbicara tentang masalah itu dan minda mereka masih terganggu tanpa penyelesaian. Beginilah akibatnya apabila masalah diselesaikan tanpa proses menyelami jiwa mangsa.

Kedua-dua peristiwa di atas, peristiwa ibu bapa melarang sebarang sentuhan serta tidak melepasi batas peranan seorang guru dan penyelesaian masalah tanpa penyelaman jiwa, masing-masing mewakili belaian(sentuhan) fizikal dan belaian mental/emosi yang dilarang oleh semua pihak (khususnya ibu bapa yang salah cara didik) daripada dilakukan oleh guru. Hal ini dijadikan undang-undang yang akhirnya tidak memberi penyelesaian yang baik kepada pembentukan masyarakat.

Monsieur Lazhar tidak menghiraukan undang-undang ini. Dia melepasi batas-batas yang ditetapkan demi kebaikan para pelajarnya, demi menyelesaikan masalah mereka. Beliau bertindak sebagai seorang bapa yang sedang sedih kerana kehilangan anak-anak. Dia risaukan pelajar-pelajar itu seperti dia risaukan anak-anaknya.

Monsieur Lazhar (2011) “Saya risaukan anak-anak itu,” lafaz Monsieur Lazhar ketika tiada seorang pun watak di dalam filem ini melafazkan kerisauan mereka.

Tindakan beliau menyebabkan senyuman terbit semula daripada wajah pelajarnya, selepas tangisan yang diluahkan ketika dia memberi peluang kepada pelajarnya untuk membicarakan masalah mereka, selepas dia memberi pelukan kasih sayang kepada mereka.

Hukum masyarakat jahil, mereka yang melakukan kebaikan akan disingkirkan atas alasan demi kebaikan. Hal ini turut berlaku kepada Monsieur Lazhar, dan sebenarnya hal ini mempunyai kaitan yang besar dengan persoalan ‘kenapa gurunya membunuh diri?’ dan ‘kenapa di kelas?’

Filem ini hebat dengan sinematografi yang kemas dan damai, serta persoalan yang dikupas satu-persatu tanpa buru-buru. Namun begitu, filem ini telah tewas kepada A Separation bagi kategori filem asing terbaik Oscar.

PS: Panjangnya… Ada ke yang baca habis? 🙂

2 thoughts on “Monsieur Lazhar (2011): Dua sentuhan yang dilarang

Leave a reply to AA Cancel reply