Filem Pilihan 2012

Saya menyenaraikan filem pilihan 2012 berdasarkan penilaian peribadi yang telah diberikan kepada filem-filem yang ditonton pada tahun ini tidak mengira tahun filem itu diterbitkan. Penilaian boleh difahami dengan merujuk batang sisi kanan (right sidebar) kerana saya ada meletakkannya di situ.

Secara keseluruhannya, sepanjang tahun 2012, hanya dua filem yang mendapat 5 bintang dan saya akan memilih filem pilihan 2012 daripada salah satu filem tersebut. Selepas ini, jika berpeluang saya akan berkongsi beberapa filem lain yang ditonton pada 2012 serta disukai dan saya anggap harus ditonton oleh pembaca.

Barangkali akan ada pembaca tidak bersetuju dengan pilihan saya ini, namun apalah sangat yang boleh dibuat oleh saya yang amatur ini.🙂

Filem yang mendapat 5 bintang

Kebetulan, kedua-dua filem yang diberi 5 bintang merupakan filem samurai dan kedua-duanya daripada Jepun. Untuk memahami filem samurai, kena buat sedikit pembacaan tentang sejarah Jepun dan latar masyarakat ketika itu terutamanya beberapa tahun sebelum pemulihan Meiji.

The Twilight Samurai (2002) [Filem Pilihan 2012]
Pengarah: Yoji Yamada
Penilaian: 5.0 (0)

The_Twilight_Samurai_Seibei

Seibei (Hiroyuki Sanada) dan dua orang anaknya

Filem ini telah memenangi filem terbaik di Japanese Academy Award pada tahun 2003 dan tercalon di Oscar dalam kategori filem asing terbaik pada tahun 2004 tetapi tewas.

Keunikan filem ini adalah pada watak utamanya iaitu Seibei Iguchi (Hiroyuki Sanada), seorang samurai yang bekerja sebagai akauntan di sebuah gudang makanan kepunyaan keluarga besarnya (clan). Seibei berbanding rakan-rakannya yang lain merupakan seorang samurai yang berpangkat rendah. Isterinya telah meninggal dunia kerana sakit TB dan dia mempunyai dua orang anak serta seorang ibu yang nyanyuk.

Kehidupannya digambarkan sebagai sebagai seorang yang tidak bernasib baik tetapi sedikit demi sedikit dipamerkan sisi keperwiraannya dan betapa dia merupakan seorang ayah yang membanggakan melalui peristiwa-peristiwa di dalam filem ini.

Sedangkan pada zaman ini, menurut Seibei sendiri, “Zaman pedang sudah berakhir”. Samurai pada saat ini tidak lagi berperanan seperti zaman sebelumnya. Senjata-senjata pada ketika itu sudah mula ditukarkan kepada senjata api berupa senapang dan meriam. Samurai pada zaman ini hanyalah status.

Filem ini menunjukkan seorang samurai yang kalau dulu mereka berjuang menghadapi musuh di medan perang, tetapi kini tidak lagi. Perjuangan mereka kali ini adalah untuk meneruskan kehidupan. Pertarungan atau peperangan akan meletakkan mereka di dalam dilema kerana tanggungjawab yang dipikul dan kesan daripada pertarungan yang bakal dihadapi terhadap tanggungjawab itu.

“Saya malu untuk mengatakan bahawa selepas beberapa tahun melalui kepayahan dengan dua orang anak perempuan, seorang isteri yang sakit, dan seorang ibu yang tua, saya sudah kehilangan keinginan untuk menghunuskan pedang.” – Seibei Iguchi

Malangnya, mereka sebagai samurai yang berada di dalam dilema itu telah digunakan oleh para pemimpin untuk memenuhi hasrat atau nafsu tamak kuasa mereka. Konsep harakiri/seppuku, simbol kesetiaan seorang samurai telah digunakan sewenang-wenangnya oleh para pemimpin untuk mengukuhkan kuasa mereka.

Detik paling menarik ialah apabila Seibei dipertemukan di dalam satu pertarungan atas arahan pemimpinnya dengan seorang samurai yang enggan melakukan harakiri kerana dia menyedari kepincangan ini. Paling mengejutkan, kehidupan samurai itu seiras dengan kehidupannya yang penuh dilema dan tanggungjawab.

Filem ini diakui oleh ramai pengulas bahawa tidak seperti filem samurai lain. Bagi saya, boleh diumpamakan filem samurai lain banyak menceritakan tentang pedang, filem The Twilight Samurai pula lebih menceritakan tentang orang yang menghunus pedang.

Seven Samurai (1954)
Pengarah: Akira Kurosawa
Penilaian: 5.0 (X)

Tujuh orang samurai

Tujuh orang samurai (di dalam gambar ini ada enam orang sahaja)

Tiada apa-apa yang boleh dipertikaikan terhadap karya agung Akira Kurosawa ini. Segala-galanya disusun dengan penuh kesempurnaan dan keajaiban. Dijadikan sumber rujukan oleh karyawan Barat dan merupakan batu penanda yang telah menaikkan kredibiliti Kurosawa sebagai salah seorang pengarah tersohor di abad ini.

Kisah berkisar di sebuah kampung yang diserang oleh perompak. Penghuni desa yang merupakan para petani mencari ronin (samurai tanpa tuan) untuk diupah bagi melindungi kampung itu. Mereka menemui Kambei Shimada, seorang ronin yang cerdik dan mempunyai sifat kepemimpinan yang tinggi. Kambei (Takashi Shimura) telah merekrut enam orang lagi ronin yang masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri. Mereka bertujuh telah memimpin para petani untuk menentang para perompak dan melindungi kampung itu.

Saya sendiri agak terpegun melihat hasil kerja Kurosawa yang sangat teliti dan lakonan para pelakonnya yang sangat mantap. Bagaimana tujuh orang ronin dan para petani (ramai yang lemah tetapi berjaya disatukan dan diatur dengan baik oleh Kambei agar tersusun dan berstrategi) menyiapkan kampung bagi menghadapi perompak (ramai, kuat dan berkelengkapan serta mempunyai kelebihan dari segi psikologi kerana cerita-cerita yang menakutkan tentang mereka dan lemahnya jati diri/keyakinan masyarakat petani) telah dibentangkan dengan baik oleh Kurosawa dengan visual dan perjalanan cerita yang sangat kemas.

Tidak hairanlah kenapa filem ini telah dibikin semula oleh Hollywood sebagai The Magnificient Seven.

Filem 2012 – 4.5 bintang

Ikiru (1952) – Akira Kurosawa [4.5 (0)]
The Hidden Blade (2004) – Yoji Yamada [4.5 (0)]
Into The Wild (2007) – Sean Penn [4.5 (X)]
A Separation (2011) –  Asghar Farhadi [4.5 (0)]

3 thoughts on “Filem Pilihan 2012

  1. filem ini ada disebut dalam buku yg PF baru beli tu. Tgk kat mana? Ada satu pasal filem jepun lama yang dia masak makanan utk raja, dan akhirnya dia buta dan berlawan pedang dgn keadaan buta. Lupa tajuk. Bagus juga filem tu.

    • Terima kasih PF sebab sudi baca dan komen.🙂

      Saya tonton versi yang dimuat turun daripada internet sahaja kerana tidak berpeluang untuk dapatkan yang asli.

      Filem Jepun tentang samurai buta itu tajuknya Love And Honor [4], filem ketiga daripada Trilogi Samurai Yoji Yamada (termasuk The Twilight Samurai dan satu lagi filem yang sangat baik juga, The Hidden Blade [4.5]).

  2. Pingback: Buah tangan terbaru Yoji Yamada | Belajar daripada filem

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s