Filem Pilihan 2012

Saya menyenaraikan filem pilihan 2012 berdasarkan penilaian peribadi yang telah diberikan kepada filem-filem yang ditonton pada tahun ini tidak mengira tahun filem itu diterbitkan. Penilaian boleh difahami dengan merujuk batang sisi kanan (right sidebar) kerana saya ada meletakkannya di situ.

Secara keseluruhannya, sepanjang tahun 2012, hanya dua filem yang mendapat 5 bintang dan saya akan memilih filem pilihan 2012 daripada salah satu filem tersebut. Selepas ini, jika berpeluang saya akan berkongsi beberapa filem lain yang ditonton pada 2012 serta disukai dan saya anggap harus ditonton oleh pembaca.

Barangkali akan ada pembaca tidak bersetuju dengan pilihan saya ini, namun apalah sangat yang boleh dibuat oleh saya yang amatur ini. 🙂

Filem yang mendapat 5 bintang

Kebetulan, kedua-dua filem yang diberi 5 bintang merupakan filem samurai dan kedua-duanya daripada Jepun. Untuk memahami filem samurai, kena buat sedikit pembacaan tentang sejarah Jepun dan latar masyarakat ketika itu terutamanya beberapa tahun sebelum pemulihan Meiji.

The Twilight Samurai (2002) [Filem Pilihan 2012]
Pengarah: Yoji Yamada
Penilaian: 5.0 (0)

The_Twilight_Samurai_Seibei

Seibei (Hiroyuki Sanada) dan dua orang anaknya

Filem ini telah memenangi filem terbaik di Japanese Academy Award pada tahun 2003 dan tercalon di Oscar dalam kategori filem asing terbaik pada tahun 2004 tetapi tewas.

Keunikan filem ini adalah pada watak utamanya iaitu Seibei Iguchi (Hiroyuki Sanada), seorang samurai yang bekerja sebagai akauntan di sebuah gudang makanan kepunyaan keluarga besarnya (clan). Seibei berbanding rakan-rakannya yang lain merupakan seorang samurai yang berpangkat rendah. Isterinya telah meninggal dunia kerana sakit TB dan dia mempunyai dua orang anak serta seorang ibu yang nyanyuk.

Kehidupannya digambarkan sebagai sebagai seorang yang tidak bernasib baik tetapi sedikit demi sedikit dipamerkan sisi keperwiraannya dan betapa dia merupakan seorang ayah yang membanggakan melalui peristiwa-peristiwa di dalam filem ini.

Sedangkan pada zaman ini, menurut Seibei sendiri, “Zaman pedang sudah berakhir”. Samurai pada saat ini tidak lagi berperanan seperti zaman sebelumnya. Senjata-senjata pada ketika itu sudah mula ditukarkan kepada senjata api berupa senapang dan meriam. Samurai pada zaman ini hanyalah status.

Filem ini menunjukkan seorang samurai yang kalau dulu mereka berjuang menghadapi musuh di medan perang, tetapi kini tidak lagi. Perjuangan mereka kali ini adalah untuk meneruskan kehidupan. Pertarungan atau peperangan akan meletakkan mereka di dalam dilema kerana tanggungjawab yang dipikul dan kesan daripada pertarungan yang bakal dihadapi terhadap tanggungjawab itu.

“Saya malu untuk mengatakan bahawa selepas beberapa tahun melalui kepayahan dengan dua orang anak perempuan, seorang isteri yang sakit, dan seorang ibu yang tua, saya sudah kehilangan keinginan untuk menghunuskan pedang.” – Seibei Iguchi

Malangnya, mereka sebagai samurai yang berada di dalam dilema itu telah digunakan oleh para pemimpin untuk memenuhi hasrat atau nafsu tamak kuasa mereka. Konsep harakiri/seppuku, simbol kesetiaan seorang samurai telah digunakan sewenang-wenangnya oleh para pemimpin untuk mengukuhkan kuasa mereka.

Detik paling menarik ialah apabila Seibei dipertemukan di dalam satu pertarungan atas arahan pemimpinnya dengan seorang samurai yang enggan melakukan harakiri kerana dia menyedari kepincangan ini. Paling mengejutkan, kehidupan samurai itu seiras dengan kehidupannya yang penuh dilema dan tanggungjawab.

Filem ini diakui oleh ramai pengulas bahawa tidak seperti filem samurai lain. Bagi saya, boleh diumpamakan filem samurai lain banyak menceritakan tentang pedang, filem The Twilight Samurai pula lebih menceritakan tentang orang yang menghunus pedang.

Seven Samurai (1954)
Pengarah: Akira Kurosawa
Penilaian: 5.0 (X)

Tujuh orang samurai

Tujuh orang samurai (di dalam gambar ini ada enam orang sahaja)

Tiada apa-apa yang boleh dipertikaikan terhadap karya agung Akira Kurosawa ini. Segala-galanya disusun dengan penuh kesempurnaan dan keajaiban. Dijadikan sumber rujukan oleh karyawan Barat dan merupakan batu penanda yang telah menaikkan kredibiliti Kurosawa sebagai salah seorang pengarah tersohor di abad ini.

Kisah berkisar di sebuah kampung yang diserang oleh perompak. Penghuni desa yang merupakan para petani mencari ronin (samurai tanpa tuan) untuk diupah bagi melindungi kampung itu. Mereka menemui Kambei Shimada, seorang ronin yang cerdik dan mempunyai sifat kepemimpinan yang tinggi. Kambei (Takashi Shimura) telah merekrut enam orang lagi ronin yang masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri. Mereka bertujuh telah memimpin para petani untuk menentang para perompak dan melindungi kampung itu.

Saya sendiri agak terpegun melihat hasil kerja Kurosawa yang sangat teliti dan lakonan para pelakonnya yang sangat mantap. Bagaimana tujuh orang ronin dan para petani (ramai yang lemah tetapi berjaya disatukan dan diatur dengan baik oleh Kambei agar tersusun dan berstrategi) menyiapkan kampung bagi menghadapi perompak (ramai, kuat dan berkelengkapan serta mempunyai kelebihan dari segi psikologi kerana cerita-cerita yang menakutkan tentang mereka dan lemahnya jati diri/keyakinan masyarakat petani) telah dibentangkan dengan baik oleh Kurosawa dengan visual dan perjalanan cerita yang sangat kemas.

Tidak hairanlah kenapa filem ini telah dibikin semula oleh Hollywood sebagai The Magnificient Seven.

Filem 2012 – 4.5 bintang

Ikiru (1952) – Akira Kurosawa [4.5 (0)]
The Hidden Blade (2004) – Yoji Yamada [4.5 (0)]
Into The Wild (2007) – Sean Penn [4.5 (X)]
A Separation (2011) –  Asghar Farhadi [4.5 (0)]

Advertisements

Retrospektif 2012

Saya ingin berkongsi pengalaman filem sepanjang tahun 2012 ini. Pada tahun ini, saya telah mula mengenali karya beberapa orang pengarah hebat seperti:

-Akira Kurosawa (Seven Samurai, Ikiru, Rashomon, Yojimbo, Sanjuro, Madayayo)
-Yoji Yamada (The Twilight Samurai, The Hidden Blade, Love And Honor, Kabei Our Mother, About Her Brother)
-Rahim Razali (Matinya Seorang Patriot, Abang, Puteri)
-Zhang Yimou (Riding Alone For Thousands Of Miles, To Live, The Road Home, Not One Less)
-Alfred Hitchcock (Psycho)

Selain itu, pada tahun ini saya juga berpeluang untuk lebih mengenali karya-karya beberapa pengarah besar seperti Yasujiro Ozu (Floating Weeds, Equinox Flower, There Was A Father, The Only Son, Early Summer, Late Spring, An Autumn Afternoon), Woody Allen (Interiors) dan Hirokazu Koreeda (Nobody Knows, Kiseki, Distance, Hana), karya ketiga-tiga pengarah ini telah mula ditonton sejak 2011 lagi.

Kemunculan Dain Said dengan Bunohan yang digelar oleh cendekiawan filem Hassan Muthalib sebagai Phoenix yang bangkit daripada abu turut menyebabkan saya terfikir betapa asingnya filem yang bagus dan bernilai daripada minda masyarakat. Apatah lagi kutipan yang rendah menunjukkan tahap akal masyarakat negara ini yang masih belum mampu untuk menerima sebuah karya berzat dan hanya sanggup untuk bergelumang dan menelan abu.

Hasil kerja kesemua pengarah ini cuba diterokai kerana usaha untuk memahami dan mengalami sendiri bagaimanakah rupa dan rasa filem yang hebat, bermutu dan bererti. Sepanjang 2012, proses memahami wajah sebenar filem yang bagus turut disertai dengan menonton filem-filem tempatan dan luar negara yang tidak kurang hebatnya atau teruknya. Aktiviti ini membolehkan saya membuat perbezaan antara dua bentuk filem itu.

Persoalan yang bermain di minda sepanjang 2012 ialah ‘Bagaimanakah filem yang baik?’ atau ‘Apakah kriteria filem yang baik?’. Sambil membaca ulasan dan kritikan di blog-blog, ternyata filem yang baik sebenarnya sukar untuk dinilai secara objektif kerana filem merupakan satu produk seni yang subjektif, ertinya sangat mendalam dan pelbagai, terbit dari dalam jiwa yang memahami.

Kemahiran untuk mengenali atau membezakan antara filem yang baik dan yang buruk bukan sekadar penilaian dengan merujuk skema pemarkahan yang tetap, tetapi lebih kepada hasil yang terbina selepas melalui pengalaman yang diperoleh sama ada secara formal di kuliah-kuliah atau secara tidak formal iaitu pendedahan kepada karya-karya yang bermutu, penghayatan, perbincangan dan pembacaan tentang karya tersebut.

Disebabkan saya sendiri tidak berada di dalam bidang perfileman, blog-blog ulasan dan kritikan filem banyak membantu saya dalam mendalami kefahaman dan mempelajari bagaimanakah filem yang baik. Di sini saya mengucapkan banyak-banyak terima kasih kepada mereka yang telah mewujudkan medium ini di dunia internet dan media seperti blog Perang Filem, Tonton Filem, Tuan Hassan Muthalib di Facebook beliau, Ku Seman Ku Hussain (Utusan Malaysia) dan beberapa individu lain.

Usaha mereka banyak faedah dan manfaatnya ke arah membetulkan semula kecenderungan masyarakat yang lebih gemar menikmati dan tenggelam dalam hedonisme yang mengabaikan erti dan makna penghayatan sesuatu karya.

Ke arah kefahaman yang kukuh dalam mengenali dan menghayati filem yang baik, banyak usaha yang harus dilakukan dan usaha itu harus disertai disiplin. Untuk mencapai kefahaman itu sangat jauh bagi saya sebagai seorang amatur, namun hasrat ini tidak mustahil.

Jika berpeluang dan ada kelapangan, saya akan cuba menyertai usaha mereka dengan berkongsi informasi dan maklumat yang menarik sepanjang usaha saya mengumpulkan pengetahuan tentang filem-filem dan usaha penghayatan produk seni filem di blog saya ini, insya Allah.

PS: Filem pilihan 2012 di pos seterusnya.