Filem, falsafah mi segera

Oleh Ku Seman Ku Hussain

FILEM yang dilahirkan pada 28 Disember 1895 menjadi seni yang paling malang di negara ini. Filem menemui penonton negara ini sekitar 1930-an. Pada relatifnya filem masih baru. Manusia lebih awal mengenali kesusasteraan, teater dan lukisan.

Malangnya seni filem kerana terjerumus dalam kancah popular dan menjadi bahan dagang. Tahap seni dalam filem menyimpang jauh berbanding sastera dan lukisan apabila Hollywood menjadi kilang filem yang menjana kekayaan kepada pelabur.

Di negara kita juga filem mendepani nasib yang serupa. Tahap nilai seni filem yang rendah, tidak berkembang dan selalu menjadi penanda aras untung rugi. Sebenarnya tidak ada seni yang diukur dengan nilai dagang kecuali filem.

Di negara ini, jumlah kutipan dan jumlah penerbitan dianggap satu “kemajuan”. Maka tidak hairanlah kalau perangkaan tentang perfileman kita menggembirakan banyak pihak terutama pelabur. Apa majunya?

Kutipan jarang mencerminkan ketinggian nilai seninya. Sastera atau lukisan sekalipun tidak menguntungkan seperti filem tetapi tinggi nilainya. Seharusnya khalayak mencari karya yang tinggi nilainya laris jualannya.

Banyak novel karya sasterawan kita jauh lebih hebat sekalipun tidak mendapat sambutan. Banyak juga pelukis-pelukis kita yang bertaraf dunia biarpun ada korporat Melayu membeli lukisan luar negara berharga berjuta-juta ringgit.

Peliknya banyak pihak menganggap filem kita berkembang dengan pesatnya. Hujah mereka, satu filem baru ditayangkan pada setiap minggu sementara kutipan pula meningkat hampir seratus peratus berbanding sepuluh tahun lalu.

Tetapi hakikatnya nilai filem jauh lebih rendah berbanding sastera. Novel realisme magis Hujan Pagi karya A. Samad Said misalnya belum tertanding oleh filem kita.

Begitu juga hebat Imam karya Abdullah Hussein menjadi rujukan penting tentang pergolakan sosial dan agama akhir abad ke-20. Apa hebatnya filem kita?

Filem menjadi malang apabila jatuh ke tangan pemburu wang. Sekali lagi malang apabila filem terjerumus dalam industri yang kembangnya dipaksa-paksa.

Diukur pula oleh sesetengah penulis di media bahawa kutipan itu penanda aras yang wajib diterima. Dalam hampir semua tulisan tentang filem, hujahnya bukanlah nilai filemnya tetapi kutipannya.

Hakikatnya manusia mencari seni, bukan seni yang mencari manusia. Inilah yang berlaku dalam seni sastera, lukisan atau teater (bukan teater kita). Apabila ada mendakwa karyanya, tidak kira sastera, lukisan, teater atau filem menepati selera, itu bukan karya.

Orang yang paling layak berkata “menepati selera masyarakat” adalah pembuat mi segera bukan pembuat filem. Adakah filem atau teater kita sama dengan mi segera?

Utusan Malaysia, 24 Oktober 2011

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s